PETALING JAYA: Pelawak, Shahrol Shiro menepis dakwaan sesetengah pihak yang turut mengaitkannya dengan jenayah pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seksual yang tular Ahad lalu.
Shahrol menerusi Instagramnya menegaskan dia bukan individu terlibat dan memohon orang ramai tidak mengaitkannya dengan isu tersebut.
“Beberapa sahabat bertanya adakah itu saya dan saya telah menjelas, itu bukan saya.
“Terima kasih kerana bertanya dahulu dan pada yang menuduh saya, saya tidak mahu kalian merangkak di padang Mahsyar mencari saya dan fokus pada dosa- dosa yang lain kerana saya telah memaafkan anda.
“Buktinya saya masih umur bawah 40-an. Muda kan. Sekian terima kasih kerana mengambil berat pasal saya,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pelawak terkenal ditahan polis Ahad lalu kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah.
Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani memaklumkan, pelawak berkenaan, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan ketika Ops Pintas dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah sekitar pukul 10 pagi.
Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta proton Axia, beberapa bungkus kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon pintar.