PENDANG: Seorang lelaki diduga dengan ujian berat apabila kehilangan isteri selepas bersalin bayi pertama mereka secara pembedahan, Sabtu lalu akibat jangkitan Covid-19.
Menurut Mohd. Aiman Syakir, 26, isterinya, Allahyarham Izzati Najah Amran, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang pada pukul 4 petang kelmarin.
Katanya, arwah menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari melahirkan bayi perempuan yang dinanti-nantikan mereka.
“Kami ke hospital pada Khamis lalu kerana isteri sudah rasa sakit bersalin dan dia perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk wad.
“Bagaimanapun isteri saya didapati positif Covid-19 dan doktor terpaksa mengeluarkan bayi dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, isterinya selamat melahirkan bayi seberat 3.02 kilogram itu pada pukul 5 pagi, Sabtu lalu namun tidak dibenarkan untuk melihat anaknya sebelum kesihatannya merosot.
“Dia ditidurkan selepas oksigennya turun kepada 30 peratus sebelum disahkan meninggal dunia semalam,” ujarnya.
Aiman yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang berkata, bayi mereka masih ditempatkan di Hospital Pulau Pinang dan dalam keadaan sihat.
“Buat masa sekarang keluarga arwah isteri di Pendang akan menjaga anak kami memandangkan saya dan keluarga di Pulau Pinang perlu menjalani kuarantin,” jelasnya.
Tambahnya, arwah mahu menamakan anak mereka dengan nama Lilly Elleyna yang diberikan sejak awal kehamilannya.
“Saya sedih kerana kehilangan arwah isteri ketika usia perkahwinan kami baru lebih setahun dan baru menerima kelahiran cahaya mata pertama.
“Saya reda dan perlu lebih kuat untuk menjaga anak pertama kami ini walaupun dia tidak sempat rasa kasih sayang ibunya. Saya juga berharap keluarga dapat mendoakan dan beri semangat kepada saya,” katanya.
Jenazah Allahyarham Izzati Najah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Tengah, Pendang dekat sini pada pukul 12 tengah malam semalam selepas selesai proses bedah siasat. – UTUSAN ONLINE