KUANTAN: Ahli Parlimen Maran dari UMNO, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataannya berkata, ia sebagaimana sokongannya sebelum ini kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana amanah kepada bangsa, agama dan juga negara.
Jelasnya, beliau juga menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, patik akan terus melaksanakan dan memberi khidmat sehabis baik dengan jujur, bersih, cekap dan amanah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.
“Sesungguhnya patik merafak sembah mohon menyembah taat setia patik yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dari dulu sehingga akhir hayat patik.
“Patik juga akan sentiaa menjaga dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selagi nyawa dikandung badan,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Ismail menang dengan majoriti 3,763 menewaskan calon Pas dan PKR.