PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob satu-satunya pemimpin UMNO yang memenuhi kriteria dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-9 walaupun berada di pilihan ketiga dalam kalangan pemimpin parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO pada awalnya sudah meletakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi memegang jawatan berkenaan, namun pemimpin itu menolak selepas menyertai beberapa siri mesyuarat parti.
“Presiden menarik diri dari disarankan sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan mesyuarat yang diadakan malam tadi, mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen UMNO dan juga mesyuarat biro-biro politik UMNO.
“Selain itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula tidak memenuhi kriteria sebagai calon kerana beliau bukan ahli Parlimen tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Jadi, kita pergi kepada yang ketiga iaitu Ismail Sabri yang berpengalaman sebagai menteri menguruskan pandemik Covid-19, pernah menjadi ketua pembangkang dan Timbalan Perdana Menteri. Jadi, beliau yang paling layak dalam senarai pemimpin yang ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat mewakili BN dan UMNO yang turut dihadiri oleh Mohamad Hassan; Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pemimpin Pas yang hadir sama ialah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
UMNO dilaporkan mencapai kata sepakat untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin selepas kehilangan sokongan majoriti 15 ahli Parlimen UMNO.
Muhyiddin dan seluruh Kabinet telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka dan dilantik sebagai ketua kerajaan sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada berlaku perubahan struktur Kabinet dalam pembentukan kerajaan baharu bersama Perikatan Nasional (PN), Ahmad bagaimanapun menjelaskan perkara itu tidak dibincang.
“Sudah tentulah kerajaan ini kerajaan baharu. Kalau dahulu kita ada Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini PN, dan yang ini kerajaan Malaysia, Kerajaan Persekutuan. Yang penting, kita selesaikan dahulu beberapa perkara (kemelut politik semasa),” katanya.