KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadiri sidang media tergempar ahli Parlimen UMNO yang berlangsung di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada pukul 11.30 pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan sumber kepada Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di pekarangan bangunan itu mendapati dua kereta yang mempunyai tulisan Menteri dan Timbalan Menteri pada nombor plat pendaftaran.
Perkara itu sekali gus menguatkan sidang media itu bakal disertai beberapa anggota Kabinet yang cenderung kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, satu jemputan berkenaan sidang media itu diedarkan oleh seorang pegawai menteri kepada media pada pagi tadi.
Antara bakal menyertai sidang akhbar itu adalah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz serta beberapa wakil rakyat parti itu yang cenderung kepada Muhyiddin.