PETALING JAYA: Lim Kit Siang menyifatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar bekerjasama sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi membentuk Kabinet baharu.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ini kerana Ismail dan Anwar merupakan dua nama sahaja yang dicalonkan oleh Ahli Dewan Rakyat untuk jawatan Perdana Menteri.
“Seorang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membentuk ‘Kabinet perang’ yang melibatkan semua kuasa politik di Parlimen memenangi perang melawan penularan Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa 18 bulan.
“Kabinet perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak Covid-19 dengan membawa dasar-dasar dan strategi baharu untuk mengawal wabak ini dan mengembalikan harapan, keyakinan, dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan keseluruhan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, gabungan kedua-dua pemimpin itu amat diperlukan kerana negara sedang berdepan dengan penularan kes Covid-19 apabila mencatatkan 22,242 kes baharu semalam, serta berada di tempat ke-25 dengan jumlah kes tertinggi di dunia ketika ini.
Malah katanya, semasa kerajaan mengisytiharkan darurat pada 11 Januari lalu, sejumlah 138,224 kes dan 555 kematian akibat Covid-19 namun kini negara mencatatkan 1,466,512 kes dan 13,302 kematian akibat Covid-19.
“Ini satu situasi yang kini berada di luar kawalan dengan 10 kali ganda lebih banyak kes dan 24 kali ganda lebih banyak kematian berbanding dengan semasa darurat diisytiharkan. Malah, hanya dalam tujuh hari yang lepas sahaja, kita mencatatkan 145,965 kes dan 1,929 kematian akibat Covid-19.
“Sekarang adalah antara masa yang paling kelam dalam sejarah negara. Kita perlu menghentikan pendarahan negara kita ini dan mencari penyelesaiannya, dan sebuah Kabinet perang dan Parlimen perang adalah salah satu penyelesaian kepada masalah seperti ini,” katanya.
Kit Siang berpendapat, Parlimen perang perlulah membentuk perpaduan negara untuk memerangi wabak Covid-19 dengan ahli-ahli Parlimen memainkan peranan dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Bukan sahaja untuk memerangi Covid-19, tetapi juga untuk menyediakan negara untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, di mana Malaysia menjadi satu ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’.
“Kabinet perang dan Parlimen perang ini perlulah dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan sistem raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia,” katanya.