KUALA LUMPUR: Pelawak, Tauke tidak menolak wujud pihak berniat jahat yang cuba menjatuhkannya dengan mengaitkan namanya dengan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks yang tular semalam.
Tauke atau nama sebenar Zamratul Amri Zakaria berkata, oleh kerana itu, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang memfitnah dan menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkannya dengan isu berkenaan.
“Perkara ini memang tidak ada kaitan dengan saya. Jangan buat tuduhan atau keluarkan komen jika tidak pasti tentang kesahihan sesuatu perkara.
“Setakat ini tiada bukti mengaitkan saya dengan isu ini. Sekarang, keselamatan saya diancam dan kerana itu saya akan membawa perkara ini ke mahkamah. Saya kena bersihkan nama saya.
“Orang yang berniat jahat boleh menggunakan maklumat peribadi saya seperti nombor telefon dan kad pengenalan untuk melakukan penipuan.
“Ini usaha untuk menjahanamkan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, seorang pelawak terkenal ditahan polis Ahad lalu kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah.
Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani memaklumkan, pelawak berkenaan, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan ketika Ops Pintas dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah sekitar pukul 10 pagi.
Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta proton Axia, beberapa bungkus kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon pintar.
Dalam pada itu, Tauke menegaskan dia tidak ada kena mengena dengan isu penangkapan tersebut dan meminta orang ramai menghentikan berita tidak benar mengenainya.
“Saya tidak rasa apa kerana memang saya tidak bersalah. Saya pelik macamana nama saya boleh dikaitkan.
“Ikut logik akal, kalau saya bersalah, saya masih lagi akan ditahan ketika ini. Ini bukan isu main-main.
“Atas nasihat peguam, saya tidak boleh komen apa-apa. Tiada kaitan dengan saya.
“Insya-Allah saya akan ambil tindakan undang-undang. Saya telah hubungi peguam dan akan berjumpa dengannya hari ini atau esok untuk membincangkan tentang perkara ini. Selepas itu kemungkinan nanti saya akan adakan sidang akhbar,” katanya lagi.