Influncer, tiga pelayar Twitter nafi buat hantaran jelik ke atas TYT Melaka - Utusan Malaysia

Influncer, tiga pelayar Twitter nafi buat hantaran jelik ke atas TYT Melaka

TERTUDUH, Mohd. Hermy Rahim (dua dari kanan), Mohd. Hafizuddin Rahmad (dua dari kiri), Ahmad Zaki Yamani Zainon (belakang dua dari kanan) dan Muhamad Ali Aswad Asngadu (belakang tiga dari kiri) diiringi anggota polis di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat individu termasuk seorang pempengaruh (influencer) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik membabitkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada bulan lalu.

Kesemua tertuduh, Mohd. Hermy Rahim, 34; Ahmad Zaki Yamani Zainon, 46; Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28; dan Mohd. Hafizuddin Rahmad, 36, membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Dalam pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter masing-masing secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik terhadap Mohd. Ali.

Hantaran berkenaan bertarikh 28 Julai dan dibaca pada 29 Julai pada pukul 1.07 pagi di Ujong Pasir, Kampung Atap, Melaka dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sabit kesalahan, keempat-empat tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, dan juga boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Hukuman itu mengikut peruntukan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Siva Sangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Purshotaman Puvanendran yang mewakili Mohd. Hermy bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu hanya bekerja sebagai pengusaha gelanggang sukan dan kini hilang pendapatan selama lima bulan akibat pandemik Covid-19.

Dua lagi anak guamnya iaitu Muhamad Ali dan Mohd. Hafizuddin masing-masing bekerja sebagai jurutera dan penyelia.

Sementara itu, Peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar mewakili Ahmad Zaki memberitahu anak guamnya hanyalah seorang jurujual dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 22 September depan sebagai sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN