Industri pelancongan rugi RM45 bilion akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

Industri pelancongan rugi RM45 bilion akibat Covid-19

AMMAR ABDUL GHAPAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Industri pelancongan negara sehingga kini mengalami kerugian kira-kira RM45 bilion akibat penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika/Eropah/Oceania), Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abdul Ghapar berkata, punca kerugian disebabkan penutupan pintu sempadan negeri dan negara bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia sentiasa dilakukan agar nama negara tidak hilang daripada peta destinasi pelancongan antarabangsa.

Menurutnya, pemain industri itu perlu bersiap sedia untuk menerima kehadiran pelancong terutama apabila pintu negara dan destinasi pelancongan dibuka dalam konsep gelembung pelancongan.

“Pada masa ini, usaha-usaha pemulihan industri pelancongan sedang dirancang dan antaranya adalah seperti program gelembung pelancongan yang dilihat mampu menjadi penggerak industri ketika negara sedang menuju fasa tiga pemulihan Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat bersama agensi pelancongan dan pejabat daerah Cameron Highlands yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis.

Ammar berkata, di Pahang, Pulau Tioman dan Bukit Fraser antara lokasi pelancongan yang akan dibuka terlebih dahulu kerana penduduk di kedua-dua lokasi terbabit sudah mencapai imuniti kelompok.

Selepas itu, beliau berkata, beberapa destinasi pelancongan lain seperti Taman Negara, Cameron Highlands, Genting Highlands dan Taman Negeri Rompin serta Janda Baik dijangka menyusul.

“Kita tahulah dari segi apa yang melanda negara sekarang industri pelancongan adalah antara industri yang terkesan yang mana kita telah setakat ini kerugian dalam RM45 bilion dari segi pendapatan.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa bersedia untuk menerima semula kehadiran pelancong pelancong apabila keadaan semakin pulih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN