PETALING JAYA: Ibu kepada penyanyi terkenal, Syamel, Wan Faaizah Karim, 55, selamat dikebumikan jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Kuala Lumpur.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Lebih Sempurna itu memaklumkan perkara tersebut di Instastory sekali gus menitipkan doa buat arwah ibu kesayangannya itu yang telah kembali ke Rahmatullah.
“Alhamdulillah, selesai pengebumian umi pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai.
“Rezeki umi perjalanan dipermudahkan. Berehatlah kesayanganku, tunggu kehadiran anakmu di pintu syurga. Doaku akan sentiasa mengiringi mu wahai syurgaku,” tulisnya di Instastory.
Semalam, Allahyarham ibu Syamel telah meninggal dunia tepat jam 10 malam .
Sebelum ini, Allahyarham sekian lama dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur dan terpaksa ditidurkan pada 24 Julai lalu akibat kekurangan oksigen dalam badan.