MELAKA: Seorang ibu dua anak dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak sulungnya berusia lima tahun kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan, dua minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh, Tan Meei Yun, 30, dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh pada 29 September depan bagi menunggu fakta penuh kes.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama seorang yang lain didapati telah mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan iaitu anak kandung kepada tertuduh wanita, sehingga menyebabkannya cedera.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 11.30 pagi di sebuah rumah di Champor Garden City, Banda Hilir, dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh kini berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dapat diberikan dengan dengan alasan mereka kini tidak bekerja selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad tidak mencadangkan sebarang jaminan atas faktor bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang beserta syarat tambahan perlu hadir melapor diri ke balai polis setiap bulan dan tidak mendekati mangsa.
Beliau kemudian menetapkan 29 September depan bagi menetapkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.
Utusan Malaysia pada 15 Ogos lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diselamatkan sepasukan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes penderaan di sebuah rumah pangsa di Banda Hilir di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa diselamatkan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai dipukul menggunakan tangan dan tali pinggang oleh ibunya dan teman lelaki wanita berkenaan.
Mangsa dan adiknya berusia setahun lebih kini diserahkan di bawah jagaan ibu saudara mereka pada 20 Ogos lalu.