JAKARTA: Ibu pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Irwansyah, Herlianah menghembuskan nafas terakhir hari ini setelah sekian lama dijangkiti wabak Covid-19.
Khabar duka tersebut disampaikan isteri pelakon Love Is Cinta itu, Zaskia Sungkar menerusi Instastorynya.
“Kumpul di Syurga Insya-Allah ya Ma. Allahummagfir laha warham ha wa’aafi ha wa’fu anha,” tulisnya.
Dalam pada itu, Irwansyah menerusi saluran Youtube The Sungkars Family memberitahu Herlianah yang sebelum ini koma sempat sedarkan diri ketika diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran.
“Ketika diperdengarkan bacaan murattal, tiba-tiba mama bangun membuka matanya. Mama memberi isyarat mengatakan yang dia masih hidup,” katanya.
Pemergian ibu tersayang menambah duka pelakon kacak ini yang juga kehilangan ayahnya, Umar Effendi pada lapan Julai yang lalu akibat jangkitan Covid-19.