SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru kepada semua pihak termasuk orang Islam dan orang bukan Islam untuk sentiasa menghormati bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran sama ada dalam majlis rasmi atau majlis tidak rasmi.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, seruan tersebut selaras dengan ketetapan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Saya berpandangan hal ini perlu lebih diberi penekanan yang penting apabila bacaan surah al-Fatihah dan ayat suci lain dilaksanakan khusus kepada umat Islam yang telah meninggal dunia seperti kematian akibat daripada pandemik Covid-19, kemalangan dan sebagainya.
“Dalam Islam turut mengajar hormat menghormati antara satu sama lain adalah sangat penting dalam tuntutan memuliakan, menghormati dan berkasih sayang sesama manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: ‘Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.’ Riwayat al-Bukhari.
Katanya, di negara ini, amalan dan budaya masyarakat yang saling hormat menghormati dan hak kebebasan untuk beragama serta mengiktiraf Islam sebagai agama negara perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam memastikan talian persaudaraan terus utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan bangsa.
“Situasi hormat menghormati ini seiring dengan Rukun Negara yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
“Oleh itu, saya mewakili pihak MAIS menyeru sekali lagi kepada semua masyarakat di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya sentiasa menghormati agama Islam serta mengurangkan perkara yang melibatkan sensitiviti dan perpecahan rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.