PETALING JAYA: Terus lantang bersuara, pelakon, Lana Nordin menyarankan kerajaan agar mendidik rakyat bagaimana untuk hidup ketika wabak melanda dan bukan mengarahkan untuk terus berkurung.
Lana atau nama sebenar Mazlina Hasan Nordin berkata, virus Covid-19 tidak akan hilang dan kerana itu kerajaan perlu berhenti menakut-nakutkan rakyat dengannya.
“Sampai masanya bila rakyat sudah bersuara, lama sangat dah kita terkurung! Kes naik juga! Covid-19 pun orang dah tak peduli agaknya.
“Nak kena kurung sampai Disember. Hentikan suruh berkurung lagi, ini satu tindakan gila. Virus tidak akan hilang sampai bila-bila. Daripada kau kurung kita, kenapa tidak hero kita ini ajar kita untuk hidup sekitarnya bukan menakut-nakutkan rakyat dengan virus,” tulisnya tegas.
Dalam pada itu, Lana menepis dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengaitkan kelantangannya bersuara dengan agenda politik.
“Kalau betul agenda politik tetapi boleh ubah kerajaan untuk merubah perundangan terhadap rakyat daripada asyik dipaksa berkurung kenapa tidak?
“Itu pendapat saya. Harap ini bukan agenda politik sahaja, tetapi untuk betul-betul memerdekakan rakyat, Insya-Allah,” ujarnya.