GEORGETOWN: Hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminjam sebanyak 200,000 bekalan dos vaksin Covid-19 daripada Kerajaan Negeri Selangor masih tertakluk kepada kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar telah mengutus surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI berhubung kelulusan proses peminjaman itu.
Tambahnya, beliau juga akan mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung perkara tersebut yang diharap dapat membuahkan hasil demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan sebanyak 20,000 dos vaksin Covid-19 kepada negeri itu.
Jelasnya, sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng atas inisiatif mendapatkan sumbangan berkaitan daripada Menteri Besar Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permintaan bagi meminjamkan kira-kira 200,000 dos vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang.
Jelas Norlela, permintaan itu bagi menyelesaikan pemberian vaksin dos pertama kepada baki 225,226 penduduk negeri ini pada minggu terakhir bulan ini.