Hari yang paling sugul buat saya, sekejap sangat Allah pinjamkan dia -Shuib -

Hari yang paling sugul buat saya, sekejap sangat Allah pinjamkan dia -Shuib

Shuib selepas selesai pengurusan pengebumian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu meluahkan rasa duka cita terhadap pemergian isteri tercintanya yang juga penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin, yang telah kembali ke Rahmatullah pada jam 5:13 pagi tadi akibat virus Covid-19.

Menerusi siaran langsung di Instagram, katanya, walaupun dia dipinjamkan orang yang luar biasa hanya sebelas tahun sahaja dalam kehidupannya, namun sudah meredai dengan ketentuan Ilahi atas pemergian isteri tercintanya.

Shuib turut berkongsi, arwah isterinya adalah orang yang sentiasa menyokong dirinya daripada dia di bawah sehingga berjaya pada hari ini.

“Hari ini hari yang paling sugul buat saya. Sekejap sangat Allah pinjamkan dia. Saya bukan meratapi pemergian dia, tetapi saya reda dan sabar dengan ujian Allah. InshaAllah saya cuba kuat. Allah pinjamkan saya sekejap sahaja, 11 tahun.

“Dalam tempoh itu yang sangat luar biasa buat saya, daripada bermula tiada apa-apa, dialah yang sentiasa menyokong saya. Dia menolong saya di bazaar berniaga ayam bakar tanpa rasa malu.

“Dia sentiasa bersama saya, jatuh bangun. Saya tumpang tuah dia, tuah seorang isteri yang taat, setia, tidak pernah mengeluh serta tidak pernah malu bersuamikan Shuib,” kongsinya.

Dalam perkongsian itu, Shuib juga memberitahu ketiga-tiga anaknya berasa amat sedih apabila mengetahui ibu kesayangan mereka telah pergi buat selamanya, setelah dia cuba bercerita serta memahamkan keadaan sebenar kepada anak-anaknya, petang tadi.

“Saya cakap kepada anak tadi, sebelum ini kita buat solat hajatkan supaya ibu balik? Tetapi kini ibu tidak akan balik lagi, semua diam. Ada yang faham dan tidak faham iaitu Mateen kerana dia baru berusia enam tahun.

“Selepas itu, dia menangis teresak-esak kerana terlalu rindukan ibunya kerana sangat manja. Saya cakap kepada mereka, kita berdoa untuk ibu balik tetapi dia bukan milik kita semua lagi, ibu milik Allah. Jadi, Allah tak nak pulangkan kepada kita.

“Dia terlalu baik, Allah nak ambil dia, kita tidak akan berjumpa dia lagi. Anak saya semua teruk menangis, tetapi mereka faham juga,” katanya menerusi siaran langsung tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN