PUTRAJAYA: Pengguna di negara ini disarankan agar lebih bijak membeli telur ayam dalam ukuran satu papan yang pada kelazimannya mengandungi kuantiti standard sejumlah 30 biji.
Ia hasil pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang turut mendapati harga purata runcit telur itu di pasaran masih berada pada kedudukan stabil.
“Perlu diketahui harga dijual dalam kuantiti 30 biji lebih menjimatkan berbanding dalam kuantiti 10 biji selain pengguna juga digalakkan buat pilihan bijak,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Makluman itu susulan laporan media berhubung harga runcit telur ayam yang naik berbanding bulan sebelumnya selari data diterbitkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Mengulas lanjut, KPDNHEP berkata, harga purata runcit sebiji telur ayam dipantau adalah stabil pada 23 Ogos lalu dengan gred A ialah 44 sen, gred B pula 40 sen dan gred C 36 sen, malah analisis peringkat pengeluar dan pemborong berdasarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) menunjukkan margin untung jualan antara satu sen hingga tiga sen sebiji.
“Pemantauan juga mendapati masih ada para peniaga yang tetap menjual dengan harga lebih rendah daripada harga kos setakat bulan lalu ketika perayaan Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Bagaimanapun sehingga kini, enam kes telah pun didakwa di mahkamah terhadap peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga di bawah perundangan antipencatutan yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu serta penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pemantauan ke atas 50 syarikat pengeluar telur turut mendapati keberadaan stok di pasaran adalah stabil iaitu 34 juta biji berbanding keperluan penggunaan seharian cuma 30 juta biji. – UTUSAN