Harga runcit maksimum minyak masak botol 5kg RM29.70 mula berkuat kuasa - Utusan Malaysia

Harga runcit maksimum minyak masak botol 5kg RM29.70 mula berkuat kuasa

PENGUAT Kuasa KPDNHEP membuat pemantauan harga susulan penetapan harga baharu minyak masak botol di seluruh negara. - GAMBAR IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mula menetapkan had harga runcit maksimum bagi produk minyak masak sawit tulen dalam botol berkuat kuasa semalam, dengan kuantiti lima kilogram (kg) paling tinggi ialah RM29.70.

Pengarah Penguat Kuasa kementerian itu, Azman Adam berkata, bagi produk botol satu kg ditetapkan RM6.70, manakala dua kg RM12.70 dan tiga kg pula ialah RM18.70.

“Pemantauan dan pemeriksaan pematuhan ke atas peniaga mula digerakkan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan itu susulan pengumuman Perdana Menteri bulan lepas mengenai komitmen kerajaan membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu harga ekoran lonjakan harga runcit produk itu dalam botol berikutan peningkatan harga komoditi kelapa sawit di pasaran antarabangsa awal tahun ini.

Justeru jelas Azman, kerajaan bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang ‘Crude Palm Oil’ dengan botol lima kg diputuskan tidak melebihi RM30.

“Kementerian menetapkan langkah ini juga tertakluk di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum bagi Minyak Masak) 2021,” jelas beliau.

Pelaksanaan harga maksimum itu turut dibuat dengan mengambil kira pandangan pelbagai agensi, pihak industri dan trend harga produk berkenaan di pasaran domestik.

Selain itu tambah beliau, sebagai tanda keprihatinan kerajaan, pemberian subsidi bagi minyak masak dalam bungkusan poli beg satu kilogram masih dikekalkan dengan harga RM2.50.

Ini bertujuan memastikan rakyat terutama golongan berpendapatan B40 untuk kekal boleh mendapatkan bekalan minyak masak sawit bagi kegunaan isi rumah pada harga yang rendah.

Semalam, pihak kementerian itu diketuai beliau sendiri, sudah melakukan pemantauan harga di beberapa pasar raya sekitar Johor Bahru, Johor melibatkan 15 pegawai penguat kuasa dan tindakan akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi harga baharu ditetapkan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, individu terbabit boleh didenda sehingga RM100,000 atau dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun RM50,000.

Pada masa sama jelasnya, pemeriksaan pihak kementerian itu turut memberi fokus prestasi keberadaan barang keperluan harian pengguna selain penandaan dan kawal selia lain-lain.

Masyarakat boleh menyalurkan maklumat pelanggaran undang-undang melalui pelbagai saluran antaranya portal e-aduan.kpdnhep, talian 1-800-886-800 dan whatsapp 019-2794317.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya