GEORGETOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap projek-projek untuk kemudahan rakyat yang disusun dan dirancang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat disiapkan mengikut jadual walaupun negara sedang menghadapi tempoh pandemik Covid-19.
Menurut beliau, perkara itu penting bagi penyampaian perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat di samping memacu ekonomi negara di Pulau Pinang.
Dalam masa sama, beliau berharap supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mengira parti, kerajaan atau pembangkang dapat memberi fokus dan iltizam untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan serta kegelisahan meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen serta usaha daripada seluruh anggota perkhidmatan awam yang terlibat dalam menyumbang ke arah pembangunan, keamanan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para frontliner yang bekerja keras dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang keempat belas, di sini hari ini.
Sidang DUN itu berlangsung seminggu sehingga 8 September ini secara fizikal di bangunan DUN, di Lebuh Light di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Fuzi berharap Pulau Pinang dapat beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat yang mana lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka.
Jelas beliau, perkara itu supaya rakyat dapat kembali menjalani kehidupan normal dan menikmati kegemaran biasa yang tidak dapat diperolehi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP hendaklah sentiasa diamal dan diutamakan dalam kehidupan norma baharu ketika ini.
“Saya juga menyeru kepada semua rakyat Pulau Pinang, tidak kira agama, bangsa dan budaya agar mengutamakan kesejahteraan hidup bersama secara aman dan damai.
“Adalah penting bagi kita menghayati semangat kenegaraan yang membantu kita mencapai kemerdekaan demi kepentingan bersama dan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE