JOHOR BAHRU: Hanya individu yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan mengerjakan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi dalam satu kenyataan berkata, syarat itu turut terpakai bagi pelaksanaan solat jenazah dan aktiviti pengimarahan masjid dan surau.
Katanya, perkara itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
“Kehadiran ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan kariah serta ahli jemaah yang hadir ke masjid atau surau hendaklah yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin sebagaimana ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu 14 hari selepas suntikan dos kedua.
“Sekiranya kapasiti satu per empat masjid dan surau Jumaat belum mencukupi untuk solat Jumaat, maka jemaah yang lain boleh menghadiri ke masjid dan surau dengan syarat telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Kelonggaran sama diberikan sekiranya jumlah ahli jemaah masjid dan surau masih belum mencukupi 50 orang untuk solat fardu lima waktu dan solat jenazah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Tosrin, lelaki yang masih belum menerima suntikan vaksin hendaklah menunaikan solat Zohor pada waktu solat Jumaat serta solat fardu lima waktu di kediaman masing-masing.
“Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam pada waktu solat Jumaat kerana dibimbangi akan menimbulkan fitnah. Perkara tersebut akan turut mendapat perhatian daripada pihak berkuasa mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti membudayakan al-Quran, bacaan Yasin dan tahlil hanya dibenarkan seramai 50 individu bagi masjid, manakala 20 bagi surau.
“Sementara itu, kelas takmir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas masih ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Aktiviti di tanah perkuburan dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan manakala bagi urusan pengkebumian jenazah bukan pesakit Covid-19 dibenarkan dengan had 50 orang sahaja tidak termasuk petugas tanah perkuburan,” tambahnya. – UTUSAN