PETALING JAYA: Susulan satu video tular yang membabitkan nama baiknya, pelakon dan pelawak terkenal, Lan Pet Pet, bakal mendapatkan khidmat nasihat peguam bagi tindakan selanjutnya berhubung isu berunsur fitnah itu.
Menerusi entri Instagram, dia memuat naik beberapa tangkap layar komen warganet yang mengaibkan nama serta menuduh dirinya melakukan perbuatan berkenaan.
Sehubungan itu, Lan akan mengundang pihak media bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai hal terbabit.
“Memandangkan hantaran yang berunsur fitnah dan telah mengaibkan nama saya. Jadi, saya akan mendapatkan khidmat nasihat dari peguam untuk tindakan selanjutnya.
“Malah, saya juga akan menjemput rakan media untuk memberi penjelasan lanjut mengenai video tular tersebut,” tulisnya di Instagram.
Sebelum ini, tular di entri Twitter apabila didakwa seorang pelawak popular dikaitkan dalam satu video sedang berurusan dengan seorang penunggang motosikal.
Kemudian, individu yang dikatakan mirip salah seorang pelawak terkenal itu tiba-tiba mengamuk apabila menyedari urusan yang dilakukan itu sedang dirakam.
Menerusi video pendek itu juga, individu berkenaan memarahi si perakam berkenaan menggunakan loghat utara sambil meluru keluar dari kereta.