Guru Besar pasang dan kibar Jalur Gemilang di sekolah pedalaman

Guru Besar pasang, kibar Jalur Gemilang di sekolah pedalaman Hulu Tembeling  

ABD. Manaf Mat (kanan) dibantu kakitangan pembersihan sekolah sedang memasang Jalur Gemilang di tepi padang Sekolah Kebangsaan Hulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Walaupun kesunyian tanpa kedengaran nyanyian lagu Negaraku dan lafaz Rukun Negara setiap kali perhimpunan pagi di sekolah berikutan murid ‘bercuti’ disebabkan penularan Covid-19, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling, Jerantut, Abd. Manaf Mat tetap setia mengibarkan Jalur Gemilang di persekitaran sekolahnya hari ini. 

Abd. Manaf berkata, ketika dalam kewaspadaan berdepan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penghayatan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 perlu untuk membangkitkan nilai jati diri dan sayangkan negara bangsa walaupun tanpa ‘ditatap’ oleh murid sekolah itu.

“Sejak hari Isnin lalu, saya bersama pekerja pembersihan sekolah ini bertungkus-lumus memasang (mengibarkan) Jalur Gemilang walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Komitmen ini kerana aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang cukup signifikan menjelang dan selepas sambutan 31 Ogos untuk dihayati oleh murid, guru dan penduduk Hulu Tembeling terhadap sejarah negara berasaskan legitimasi perjuangan negarawan terdahulu,” katanya di Kampung Bantal di sini. 

Menurut Abd. Manaf, walaupun SK Hulu Tembeling yang terletak di Kampung Bantal iaitu sebuah perkampungan tradisional Melayu mukim Hulu Tembeling masih ‘sunyi’ tanpa kehadiran seramai 83 orang murid bersemuka di sekolah kerana masih ‘bercuti’ dan cuma mengikuti sesi Pengajaran Pembelajaran di Rumah (PPdR), tetapi aktiviti tersebut tetap memenuhi jadual tahunan koakademik sekolah setiap kali tiba bulan Ogos.

“Inilah satu pendekatan penghayatan kemerdekaan dalam tempoh penguatkuasaan PKP tanpa laungan keramat ‘merdeka’ dan nyanyian lagu patriotik, tetapi kibaran Jalur Gemilang tetap megah di setiap bucu kawasan termasuk bilik darjah sudah tentu menzahirkan nilai patriotik dalam kalangan murid, guru dan penduduk setempat,” katanya.

Abd. Manaf berkata, SK Hulu Tembeling yang terletak di pedalaman kira-kira 130 kilometer dengan bandar Jerantut sentiasa menjadi tumpuan masyarakat di situ di samping pengunjung yang singgah sudah sewajarnya diwarnai Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-64 tahun ini. 

“Kita juga menganjurkan pertandingan pakaian tradisional berasaskan Jalur Gemilang secara dalam talian dan juga murid yang menyertai diminta menghantar gambar kepada guru di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Guru Pendidikan Islam, Fauzan Md. Thahib pula berkata, aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyemai nilai patriotisme berasaskan falsafah kemerdekaan tanahair.

“Walaupun tanpa murid dalam sesi bersemuka, tetapi ada kemeriahan dan tarikan kerana sekolah ini terletak di tengah kawasan kampung tradisional Melayu, Kampung Bantal apabila Jalur Gemilang boleh dilihat oleh penduduk dan murid yang tinggal berdekatan.

“Usaha ini cukup relevan bagi menyemai nilai patriotik dan sejarah kemerdekaan negara selain murid disuntik pengetahuan semua mata pelajaran menerusi sesi PPdR setiap hari dalam tempoh PKP ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya