SILVERSTONE : Pelumba Yamaha Fabio Quartararo mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan MotoGP dunia selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, sebentar tadi.
Kemenangan itu merupakan kejuaraan kelima diraih Quartararo pada musim ini apabila menamatkan perlumbaan menerusi catatan masa 40 minit 20.579 saat (s).
Tempat kedua menjadi milik penunggang Suzuki, Alex Rins yang ketinggalan +2.663s manakala Aleix Espargaro mencipta sejarah buat pasukan Aprilia dengan melengkapkan kedudukan podium (+4.105s).
Pelumba Perancis berusia 22 tahun itu kini menerajui kedudukan kejuaraan MotoGP dunia dengan mengumpul 206 mata, diikuti pelumba Suzuki Joan Mir (141) dan Johann Zarco di tangga ketiga (137).
“Pengakhiran perlumbaan yang cukup baik walaupun pada sesi kelayakan saya sedikit bergelut. Terima kasih kepada pasukan, mekanik dan peminat di atas sokongan anda semua, kemenangan ini untuk anda semua,” katanya selepas perlumbaan.
Sementara itu, Espargaro yang berjaya memintas pelumba Ducati Jack Miller pada dua selekoh sebelum menuju ke garisan penamat di pusingan terakhir menyifatkan kedudukan podium ini seperti satu mimpi.
“Detik ini seperti satu mimpi buat saya, sangat-sangat gembira dengan kemenangan ini. Dari awal perlumbaan saya percaya mampu meraih podium pada perlumbaan ini.
“Selepas ini pasukan perlu bekerja lebih keras kerana saya ingin mencipta lebih banyak kejayaan,” ujarnya. – AGENSI