Gelaran Datuk palsu: 2 ahli perniagaan dihadap ke mahkamah - Utusan Malaysia

Gelaran Datuk palsu: 2 ahli perniagaan dihadap ke mahkamah

TUAH SHAH Abd. Rahman diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua ahli perniagaan didakwa atas 20 pertuduhan membabitkan pembuatan watikah darjah kebesaran negeri Melaka dan menggunakan gelaran Datuk palsu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tertuduh, Tuah Shah Abd. Rahman, 48, dan Zainal Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Dalam prosiding itu, Tuah Shah dihadapkan dengan 10 pertuduhan membuat watikah masing-masing empat watikah Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M), tiga watikah Jaksa Pendamai Negeri Melaka (J.P), dua watikah Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dan satu watikah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M).

Kesemua watikah itu didakwa telah dibuat tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka di sebuah rumah di Kampung Ladang, Krubong dalam daerah Melaka Tengah antara 7 September 2020 sehingga 5 Februari 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (b) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) (Pindaan) 2016 Enakmen 1981.

Rakannya, Zainal pula dihadapkan dengan lapan pertuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu pada empat resit membabitkan tiga buah syarikat perniagaan tayar dan surat keizinan penggunaan pada kenderaan tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka bagi tujuan peribadinya.

Tertuduh juga didakwa telah menggunakan gelaran Datuk palsu pada cop ‘Salinan Diakui Sah’ dan pada kad Ahli Majlis Datuk Kehormat Malaysia serta kad perniagaan Kafa Kiramas Network.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan M12 Taman Merdeka, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah antara 3 Feb sehingga 27 Februari 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunaan tidak betul) (Enakmen 21) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 Enakmen sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua ahli perniagaan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000.

Dalam pada itu, mereka turut berdepan dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana secara bersama-sama telah menipu dua individu bergelar Datuk dalam urusan mendapatkan watikah D.G.S.M sehingga mendorong mangsa membuat bayaran berjumlah RM200,000.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah pada 2 Oktober 2020 dan 2 Februari 2021.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof dan Muzila Arshad mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 21 September ini sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya