JOHOR BAHRU: Kira-kira 1,000 penduduk yang mendiami Blok A Sri Balas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kempas Permai, di sini terpaksa berhadapan dengan masalah lif rosak.
Bukan sekejap, tetapi dua daripada tiga buah lif yang terdapat di blok tersebut didakwa mengalami kerosakan sejak empat tahun lalu dan tidak pernah dibaiki walaupun banyak aduan telah dibuat.
Seorang penduduk, Raja Sulaiman Raja Ismail, 60, berkata, sepanjang empat tahun kedua-dua lif di situ tidak dibaiki, keadaan itu telah menyukarkan penduduk yang tinggal di tingkat atas terutama warga emas sepertinya.
“Hanya satu lif sahaja yang berfungsi ketika ini sehingga menyebabkan berlaku kesesakan apabila ramai yang menggunakan kemudahan itu terutama pada waktu pagi dan petang.
“Memang membebankan penduduk di sini kerana terpaksa menghadapi masalah lif yang rosak ditambah lagi sekiranya berlaku kecemasan, hanya lif bomba sahaja yang berfungsi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Raja Sulaiman yang merupakan bekas pengerusi penduduk di situ dan tinggal di PPR berkenaan sejak 13 tahun lalu berkata, ada penduduk yang terpaksa menggunakan tangga sekiranya lif tersebut penuh.
Bagi Wan Zaini Wan Ali, 68, yang tinggal di tingkat enam dan menghadapi masalah kaki serta terpaksa bertongkat berharap pihak yang bertanggung jawab segera membaiki dua buah lif itu yang rosak sejak sekian lama.
“Saya merayu, tolonglah baiki segera dua buah lif di sini, nak mengharapkan hanya sebuah lif yang berfungsi memang tidak memadai.
“Bayangkan terdapat kira-kira 1,000 orang menggunakan sebuah lif, jadi saya sekali lagi amat-amat merayu agar pembaikan lif ini dapat dipercepatkan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hazarazah Ali, 44, yang juga ahli jawatankuasa penduduk blok tersebut pula akan melakukan semburan pembasmi kuman setiap dua jam di satu-satunya lif yang berfungsi.
“Di blok ini sahaja sebanyak 28 penduduk telah dijangkiti wabak Covid-19 dan telah dikuarantin di dalam rumah masing-masing. Jadi, tidak mustahil boleh berlaku jangkitan sekiranya kami tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kami mengambil inisiatif itu bersama penduduk lain bergotong-royong setiap hari dengan membuat semburan setiap dua jam di lif yang masih berfungsi sebagai langkah untuk membendung wabak kerana ia satu-satunya lif yang penduduk guna setiap masa,” katanya.
Caption
BEBERAPA penduduk termasuk yang bertongkat menunggu untuk menggunakan sebuah lif yang berfungsi selepas dua lagi rosak dan belum dibaiki sejak empat tahun lalu di Blok A Sri Balas PPR Kempas Permai di Johor Bahru, Johor. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI
HAZAZARAH Ali (kiri) menyembur pembasmi kuman setiap dua jam sebagai langkah berjaga-jaga berikutan hanya satu daripada dua lif yang berfungsi di Blok A Sri Balas PPR Kempas Permai, Johor Bahru. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI
mugshot
RAJA SULAIMAN RAJA ISMAIL
WAN ZAINI WAN ALI
HAZAZARAH ALI