YAN: Pembinaan Empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi fasa satu di Gunung Jerai dekat sini bertujuan untuk memastikan pokok-pokok yang tumbang serta batu-batu besar tidak menghilir sekiranya aliran air deras berlaku.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, sebanyak tiga empangan jenis itu akan dibina di kawasan tersebut dalam masa terdekat.
“Empangan jenis ini banyak digunakan di Jepun. Selain menghalang pokok, Empangan Sabo juga memastikan sampah-sampah dari pasir atau batu besar tidak menghilir apabila berlaku aliran deras.
“Keadaan itu akan membantu dalam mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan di bawah seperti yang terjadi dalam tragedi kepala air baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pembinaan empangan tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar sebelum itu yang menelan belanja sebanyak RM20 juta.
Difahamkan terdapat tiga empangan jenis itu akan dibina di Gunung Jerai melibatkan kawasan aliran yang baharu muncul dalam fenomena kepala air baru-baru ini.
Mengulas mengenai penggantian dua jambatan yang turut diumumkan Perdana Menteri, Zaini berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi memastikan sebarang sisa hutan yang turun dari gunung dapat mengalir secara terus dan tidak tersekat.
“Dalam kejadian baru-baru ini, sisa-sisa hutan itu tersekat di dua jambatan tersebut. Keadaan itu menyebabkan kampung-kampung di bawah ini termasuk bandar Yan dinaiki banjir,” katanya. – UTUSAN