PETALING JAYA: Sudah pun mengesahkan pingat emas termasuk memecahkan rekod dunia, namun tiba-tiba penyertaan Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik 2020 dibatalkan.
Menurut Majlis Sukan Negara (MSN), penyertaan jaguh lontar peluru negara itu dibatalkan susulan terdapat protes daripada atlet Ukraine.
“Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
“Berdasarkan semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga tiga atlet terbabit mendapat status DNS (did not start) sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekalipun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.
“Bagaimanapun, protes terbabit menyaksikan apa yang dilakukan Ziyad tidak dikira,” kata MSN kepada Utusan Malaysia, sebentar tadi.
Begitupun, sehingga pukul 9 malam tadi, keputusan perhubung perkara tersebut masih lagi dalam proses.
“Kemaskini Tokyo, masih dalam perbincangan di antara Technical Delegate dengan tiga negara yang turut membuat bantahan semula ke atas Ukraine iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu menerusi laman sosial.
Counter protest masih dalam proses. Kita sama2 doakan pic.twitter.com/oIBTBy4NVq
— Faizal Azumu (@PejaOfPerak) August 31, 2021
Sebelum emas diragut, atlet kelahiran Selangor itu mengotakan janjinya dengan menghadiahkan emas Paralimpik Tokyo bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Ia selepas lontaran ketiga Ziyad sejauh 17.94m mengesahkannya sebagai pemenang emas, juga melakar rekod dunia.
Lebih menarik, atlet berusia 31 tahun itu turut berjaya mengatasi catatan rekod kebangsaan atlet normal, 17.58m yang dilakukan Adi Alifuddin Hussin pada Sukan SEA 2011 Palembang.