Eizlan, Hans diminta maklum perkembangan kes saman 13 September - Utusan Malaysia

Eizlan, Hans diminta maklum perkembangan kes saman 13 September

EIZLAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pihak berbalah, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof dan bekas Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac diminta memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini sama ada tuntutan saman fitnah yang mengaitkan kedua-duanya, boleh diselesaikan melalui mediasi.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md. Yusof, 50, memfailkan tuntutan saman itu pada 8 Februari lalu dengan menamakan bekas pelakon tersebut atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac, 50 sebagai defendan.

HANS ISAAC

Mahkamah menetapkan perkembangan itu dimaklumkan pada sesi pengurusan kes secara dalam talian yang dijadualkan pada 13 September ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Eizlan kepada pihak media selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Ong Yen Li.

Ujar beliau, pada tarikh itu, kedua-dua pihak diminta memaklumkan jika terdapat sebarang penyelesaian yang telah dicapai berhubung hala tuju saman berkenaan.

Pada 16 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mencadangkan kes saman fitnah pelakon itu terhadap rakan seperjuangannya Hans Isaac diselesaikan secara mediasi.

Hakim Datuk Azimah Omar mencadangkan plaintif (Eizlan) dan defendan (Hans Isaac) merujuk perkara itu ke pusat mediasi mahkamah bagi mencapai persetujuan berhubung bentuk-bentuk penyelesaian yang sesuai diambil kelak.

Eizlan memfailkan tuntutan saman itu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa mengaitkan dirinya bagi mendapatkan dana untuk syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn. Bhd.

Tindakan itu didakwa dilakukan sedangkan plaintif tiada kena mengena dengan syarikat terbabit dalam apa jua kapasiti.

Eizlan mendakwa kata-kata fitnah itu juga membawa maksud beliau telah melakukan jenayah atau berkonspirasi melakukan jenayah, tidak jujur dan tidak berintegriti untuk mendapatkan dana daripada kerajaan.

Plaintif berkata kenyataan defendan itu adalah dusta kerana semasa dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas, beliau tiada kena mengena dengan Excellent Pictures, bukan pengarah, bukan pemegang saham, bukan penyumbang dan bukan seorang yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Eizlan turut mendakwa pada 16 November tahun lalu, defendan telah mengungkap, menghebah, menerbit, mengeluar dan menyiarkan kata-kata fitnah itu dalam satu kumpulan Whatsapp (group Whatsapp) bernama `Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM)’.

Kumpulan itu mengandungi 200 ahli daripada penerbit-penerbit filem dan drama televisyen serta penggiat industri seni termasuk plaintif dan defendan.

Plaintif menyatakan, kenyataan fitnah dalam kumpulan Whatsapp itu kemudiannya tersebar ke media sosial lain menyebabkannya kehilangan maruah, dihina dan dijauhi masyarakat umum kerana beliau seorang seniman, pelakon dan artis terkenal.

Justeru, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am untuk ditaksir tidak kurang daripada RM2 juta atau sejumlah ganti rugi lain yang ditaksir dan difikirkan munasabah oleh mahkamah, ganti rugi teruk (aggravated) dan ganti rugi teladan (exemplary).

Pelakon itu juga menuntut defendan membuat kenyataan permohonan maaf kepadanya mengikut syarat dan terma yang dicadangkan oleh beliau dan diluluskan mahkamah.

Plaintif turut memohon satu perintah injunksi melarang defendan, ejen-ejen dan pekerjanya sama ada secara langsung atau sebaliknya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan sama atau berunsur fitnah mengikut syarat dan terma yang ditetapkan mahkamah.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelannya yang difailkan pada 17 Mac lalu mendakwa beliau tidak pernah menimbulkan unsur konflik berkepentingan (conflict of interest) terhadap plaintif.

Dakwanya, walaupun plaintif tidak mempunyai sebarang jawatan atau pemegang saham di syarikat Excellent Pictures, beliau pernah berlakon dalam filem-filem serta siri-siri drama yang diterbitkan oleh syarikat itu.

Defendan mendakwa beliau hanya menghantar suatu ungkapan kata ke dalam kumpulan Whatsapp yang mana ia adalah untuk satu kumpulan tertutup dan hanya ahli kumpulan sahaja yang mempunyai akses kepada maklumat tersebut.

“Sebarang maklumat atau apa-apa perkara yang tersebar keluar dari kumpulan Whatsapp, itu merupakan tanggungjawab pentadbir kumpulan (group admin) kerana mereka merupakan pencipta kumpulan Whatsapp itu,” katanya dalam penyataan pembelaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya