PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Datin Paduka Eina Azman memaklumkan dia, suami serta dua orang pembantu rumahnya disahkan positif Covid-19.
Menurut Eina, suami tercintanya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah kini mengalami demam panas dan tahap oksigen yang kurang stabil.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu anak-anak kecil dan kakaknya disahkan negatif selepas membuat ujian calitan tersebut.
“Dukacita ingin memaklumkan saya, suami dan dua bibik saya didapati positif Covid-19. Macam nak gugur jantung ini bila dapat keputusan itu kerana saya selalu buat ujian saringan Covid-19.
“Walaupun minggu lepas saya dan suami baru sahaja buat ujian tersebut sebelum pembedahan dan keputusan yang keluar negatif. Tidak tahu macam mana dalam seminggu saya boleh dijangkiti. Sekarang saya dah mula demam panas dan batuk.
“Cuma keadaan suami saya kurang okey kerana demam terlalu panas dan oksigen dia turun naik. Jadi, setiap dua hari kami perlu ke hospital untuk dipantau dan melalukan X-ray,” kongsinya di Instagram.
Katanya lagi, Eina turut menitipkan rasa sedih kerana diberi ujian Allah sebegini di saat ulang tahun perkahwinannya yang ke-7, hari ini, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima dengan hati terbuka.
Dalam pada itu, dia meminta orang ramai agar mendoakan dia sekeluarga serta pembantu rumahnya agar diberikan kesembuhan seperti sedia kala.
“Hari ini pula ulang tahun perkahwinan kami jadi pula macam ini. Apa pun syaa percaya ini semua ketentuan Allah dan kami terima dengan hati yang terbuka.
“Saya minta tolong semua doakan untuk kami sekeluarga bersama bibik-bibik kembali sihat seperti biasa,” coretnya panjang.