Geram juga Poklip bila dengar dakwaan yang disampaikan seorang rakan media ini. Yalah, kita sebagai wartawan apabila dipertikai cara kerja dengan sindiran, terasa jugalah hati kita yang sensitif ini.
Kisahnya berlaku semasa satu sidang media pelancaran sebuah filem. Ada seorang artis ini didakwa memberi ‘amaran’ kepada para wartawan untuk tidak memutar belit kenyataan mana-mana artis.
Eh! Kenyataan awak yang mana satu pernah diputar belit? Rasanya macam dah lama tak baca berita awak. Mungkin ada salah faham atau mana-mana media yang pernah mengguris hati kecil awak itu.
Bukan apa, Poklip perasan juga perangai segelintir artis yang sesuka hati keluarkan kenyataan tapi selepas dikecam netizen, media juga disalahkan. Konon kami putar belit kata-katanya.
Setahu Poklip, kalau A yang awak cakap, dengan izin Allah, A juga kami tulis. Jarang sekali Poklip dengar rakan-rakan media buat hal. Kita tidak bercakap tentang portal atau blog-blog hiburan yang bersepah di luar sana.
Adakala, kami tulis A, mereka boleh jadikan B. Selepas teruk dikecam, pastilah sumber utama iaitu kami akan dicari. Tak baik, awak yang buang sampah merata, kami kena tanggung bau satu kampung!
Bukan nak cakap rakan wartawan ‘rasmi’ Poklip baik-baik belaka, pasti ada sahaja yang buat hal cuma kalau hendak sindir itu, rasanya tidak perlu. Cakap baik-baik dan penuh hormat kan boleh?
Teringat pula seorang pelakon naik hantu apabila kenyataan yang dikeluarkan pasangannya tular dalam media sosial. Kalau pasangan awak sendiri umum, takkan itu juga salah kami? Eh, pandai-pandailah fikir sendiri.