PUTRAJAYA: Dua wanita mendapat peluang kedua menjelang Awal Muharram kerana terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengurangkan tuduhan terhadap mereka daripada mengedar kepada memiliki sejumlah 294.9 gram dadah.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Ghazali Cha.
Zawani Zulkifli dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan memiliki 212.7 gram heroin manakala Nur Zahirah Yusoff dipenjara 13 tahun kerana memiliki 82.2 gram monoacetylmorphine.
Hukuman penjara terhadap penganggur dan bekas ejen tiket syarikat bas itu berkuat kuasa bermula tarikh mereka ditangkap pada 18 Disember 2016.
Mereka yang berusia 34 tahun melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Jalan Harbour Place Off Jalan Assumption, Seberang Perai Utara pada 4.45 petang, hari tersebut.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.
Ketika menyampaikan keputusan, mahkamah berpuas hati terdapat perbezaan dari segi tempoh hukuman kerana Zawani mempunyai sabitan lampau.
Hakim Suraya berkata, kedua-dua wanita itu bernasib baik kerana pihak pendakwaan menawarkan untuk mengurangkan tuduhan terhadap mereka.
“Kamu berdua akan mendapat pengurangan satu pertiga hukuman kerana berkelakuan baik semasa di penjara dan kami berharap kamu akan berubah sikap,” katanya.
Hakim Abu Bakar berkata, mereka patut menganggap diri mereka bertuah kerana pihak pendakwa bersetuju mengurangkan tuduhan sehari sebelum sambutan Awal Muharram, esok.
Pada prosiding itu, Hakim Suraya berpuas hati bahawa hakim bicara telah tersalah arah secara serius kerana beliau gagal menunjukkan sama ada sabitan itu berdasarkan perbuatan mengedar yang sebenar atau hanya anggapan.
Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati kedua-dua wanita tersebut bersalah dan menjatuhkan hukuman mati pada 2019.
Sementara itu, peguam K. Simon Murali yang mewakili Nur Zahirah berhujah, anak guamnya tiada sabitan lampau dan berasal daripada latar belakang keluarga miskin dan berpecah belah ketika menetap di Teluk Kumbar.
Zawani diwakili Mohd. Izhar Ahmad Azmi dan Mohd. Hafiz Jalaludin. – UTUSAN ONLINE