ALOR SETAR: Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Amirul Abu Bakar, 35, dan Mohd. Hafizul Zakaria, 35, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka yang berpangkat koperal sokongan dan koperal, dituduh secara bersama meminta suapan berjumlah RM4,000 daripada seorang lelaki yang disyaki menjual air ketum.
Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua mereka yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, secara rasuah didakwa memperoleh wang tunai berjumlah RM2,600 dari lelaki sama.
Rasuah itu didakwa diperoleh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas individu berkenaan kerana disyaki menjual air ketum di bawah Akta Racun 1952.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9 malam, 28 Jun 2018 di sebuah rumah di Taman Sinar Mentari, Bedong, dalam daerah Kuala Muda.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.
Sementara itu Amirul turut berdepan dua lagi pertuduhan berasingan iaitu meminta dan menerima rasuah daripada individu sama.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai RM3,000 daripada individu berkenaan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, Amirul dituduh memperolehi wang tunai RM1,300 dan rantai emas bernilai RM380 daripada lelaki tersebut serta rantai emas bernilai RM380.
Kesalahan itu juga didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sinar Mentari, Bedong, dalam daerah Kuala Muda pada pukul 9 malam, 13 Julai 2018 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut kerana disyaki menjalankan kegiatan menjual air ketum.
Berikutan itu, koperal sokongan tersebut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin, manakala Amirul diwakili peguam, Noor Hisham Ismail, dan Mohd Hafizul diwakili peguam, Che Sharif Matt.
Hakim menetapkan sebutan semula kesemua kes itu pada 14 September depan dengan Amirul dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 manakala Hafizul RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut. – UTUSAN ONLINE