Dua pekerja asing maut terhidu bau kimia loji kumbahan - Utusan Malaysia

Dua pekerja asing maut terhidu bau kimia loji kumbahan

LOJI kumbahan yang terletak di tepi jalan berhampiran kilang Lansson di Cyberjaya yang meragut dua pekerja warganegara India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Dua pekerja warganegara India maut selepas terhidu bau kimia dalam loji kumbahan yang terletak di tepi jalan berhampiran kilang Lansson di Cyberjaya di sini petang tadi.

Pegawai Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Julaina Hashim berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2 petang.

Menurutnya, sebuah jentera bersama tujuh pegawai serta anggota terus bergegas ke lokasi kejadian dan tiba 11 minit kemudian.

“Berdasarkan maklumat daripada laporan Komander Operasi terdapat dua orang pekerja tidak sedarkan diri berada di dalam loji kumbahan berkenaan.

“Dua mangsa tersebut merupakan antara tujuh pekerja lain di lokasi sedang melakukan kerja-kerja di loji kumbahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Julaina berkata, pihaknya kemudian menghubungi Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam bagi membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa didapati telah meninggal dunia dipercayai terhidu bau kimia ketika kerja-kerja menyelamat dilakukan.

“Mangsa pertama dikenali Kesavan Matarasan 30, dikeluarkan pada pukul 4.30 petang dan mangsa kedua, Sailu Makkala, 40, dikeluarkan pada pukul 5 petang.

“Kedua-dua mayat telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya