Dr. Mahathir negarawan pertama pamer sikap politik matang

Dr. Mahathir negarawan pertama pamer sikap politik matang

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan tokoh negarawan pertama yang mempamerkan sikap politik matang.

Dr. Mahathir juga antara lain menjadi individu yang merintis ke arah penyatuan nasional kerana beliau hanya mahu menyelesaikan semua masalah dihadapi rakyat negara ini termasuklah krisis pandemik Covid-19.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, semua pihak harus berpegang kepada setiap nasihat bekas perdana menteri itu dengan berhenti bermain politik yang memecah-belahkan semua orang. 

Sebaliknya, kata Khairuddin, adalah wajar untuk mengambil pendekatan membantu kerajaan ke arah memakmurkan semula negara yang disifatkan sebagai ‘Malaysia Baharu’. 

“Sebab itulah Dr. Mahathir sering keluarkan kenyataan beliau tidak berminat lagi menjadi perdana menteri tetapi hanya fokus bagi menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) ke arah menyelesaikan semua masalah negara sekarang ini. 

“Ini termasuklah menyelesaikan pandemik Covid-19, kejatuhan ekonomi negara, landskap politik yang caca-merba, mempelajari pelajaran melalui e-pembelajaran, masalah sosial serta seluruh faktor kesengsaraan rakyat. 

“Atas dasar inilah beliau menasihati semua pihak supaya jangan sabotaj penubuhan kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini. 

Terdahulu, Ismail Sabri bertemu tiga pemimpin politik pembangkang iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri. 

Dalam pertemuan yang julung kali diadakan itu, kerajaan berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif. 

Isnin lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, nasihat ahli Parlimen Langkawi itu supaya usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah tidak diperlukan bagi mengelak berlaku perebutan kuasa dalam kalangan parti politik kerajaan dan pembangkang. 

Dengan pendekatan itu, menurutnya, ia berjaya mewujudkan tempoh masa bertenang, menurunkan suhu politik negara dan semua pihak boleh memberi tumpuan ke arah memantapkan pentadbiran negara demi kesejahteraan masa depan bangsa dan negara. 

“Sebab itu, semua rakyat berdoa supaya perdana menteri bersetuju menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan MPN yang diterajui oleh Dr. Mahathir yang kelihatan ikhlas membantu kerajaan, negara dan rakyat menyelesaikan polemik masa kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya