KUALA LUMPUR: “Doakan agar urusan jenazah dipermudahkan.”
Itu kata penyanyi terkenal, Ernie Zakri yang memaklumkan ibu suaminya, Syamel, Wan Faaizah Karim, 55, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10.09 malam Ahad.
Penyanyi lagu Gundah ini berkongsi khabar duka tersebut dengan mengulang siar semula coretan Syamel menerusi Instagram Story miliknya.
“Terima kasih kerana sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk Umi kami,” tulisnya.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia pada akaun Ernie, kali terakhir dia memuat naik gambar bersama ibu mentuanya adalah pada 9 Mei lalu dengan memanjatkan doa daripada surah Al-Ahqaf ayat ke-15 yang membawa pengertian untuk mendapatkan keluarga yang bahagia.
Terdahulu, Allahyarham Wan Faaizah terpaksa ditidurkan akibat kekurangan oksigen dalam badan.
Bagaimanapun, Syamel menafikan ibunya dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital sepanjang hidupnya.