NEW YORK: Bintang ternama, Britney Spears disiasat pihak berkuasa selepas dipercayai menyerang salah seorang pekerjanya baru-baru ini.
Lapor Sky News, Spears, 39, ditemui pihak berkuasa ke kediamannya di California selepas satu laporan dibuat oleh salah seorang pekerjanya yang mendakwa dirinya dikasari penyanyi itu dalam satu pergaduhan yang tercetus malam Isnin lalu.
Polis mengesahkan tiada kecederaan direkodkan dan laporan tersebut akan diserahkan kepada pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu peguam Spears, Mathew Rosengart menerusi satu hantaran emel mendakwa siasatan itu sengaja disensasi dan dibesar-besarkan.
“Sesiapa sahaja boleh membuat tuduhan, namun yang berkaitan isu ini perlu dihentikan.
“Tiada serang menyerang dan tiada kecederaan walau apapun,” katanya.
Spears melantik Rosengart untuk membebaskan diri daripada perintah penjagaan dan kawal selia keatas wang dan kehidupannya yang diluluskan mahkamah sejak 13 tahun lalu.
Dalam satu sesi pendengaran (mahkamah) baru-baru ini, Spears menyifatkan perintah tersebut sebagai satu bentuk penderaan keatas dirinya.
Dia mendakwa dirinya dipaksa mengambil ubat-ubatan tanpa kerelaan dan dihalang daripada mendirikan rumah tangga.
Spears juga menuduh ayahnya, Jamie Spears, 69, telah memusnahkan kehidupannya dan menuntut agar lelaki itu dikenakan tindakan undang-undang kerana menyalahguna perintah penjagaan untuk kepentingan peribadi.