Dimaki sewel, Shima Anuar terkejut sikap biadap pelanggan - Utusan Malaysia

Dimaki sewel, Shima Anuar terkejut sikap biadap pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Menerima makian pelanggan yang tidak berpuas hati dengan sistem penghantaran jualan laksamnya, pelakon, Shima Anuar, 31, menganggap ada ketika tidak semestinya pelanggan sentiasa benar.

Menurut Shima, sebagai seorang usahawan dan menjalankan perniagaan laksam yang kini hampir memasuki tahun kedua, dia tidak pernah berhadapan dengan pelanggan yang merungut mengenai sistem penghantaran.

“Bermula awal bulan ini, saya dan pasukan sudah mengubah jadual penghantaran laksam dari pukul 2 hingga 6 petang. Sebelum ini kami buat di waktu pagi. Perkara itu juga sudah dimaklumkan dan diuar-uarkan di setiap platform media sosial perniagaan termasuk di akaun saya sendiri.

“Tetapi ada pula pelanggan bersikap sambil lewa dan tak baca mengenainya kemudian bertindak menyalahkan saya dalam hal ini. Ramai yang sudah ambil maklum mengenai hal itu, tetapi individu tersebut sahaja yang tergamak menyalahkan pihak kami.

“Saya pun bukan sehari dua buat bisnes ini sampai cakap saya sewel. Sebenarnya, ada banyak lagi kata-kata yang mengguris perasaan yang ditulis dan dihantar oleh individu tersebut namun tidak saya paparkan dalam Instagram,”katanya.

Shima berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini bagi mengulas mengenai tindakannya memaparkan perbualan teks bersama seorang pelanggan laksamnya yang bersikap biadap semalam.

Selain itu, kata pelakon filem Highland Tower ini, dia juga ada menerima ugutan saman daripada individu tersebut namun mengaku tidak gentar dengan perkara itu.

“Memang pihak saya tidak salah. Malah, ejen yang berurusan dengannya juga sudah memaklumkan waktu penghantaran terbaru kami semasa urusan jual beli itu. Ada buktinya.

“Saya paparkan di Instagram mengenai hal ini juga tanpa memberitahu siapa namanya, nombor telefonnya, tidak letak nama akaun Instagramnya. Orang tidak tahu siapa pelanggan itu jadi kenapa dia nak terasa itu adalah dirinya?

“Tujuan saya muat naik perkara ini di media sosial untuk memberi contoh bahawa ada pelanggan bersikap begini dan diharapkan perkara ini tidak berlaku kepada mana-mana penjual atas talian yang lain,”katanya.

Mahu agar perkara ini dijadikan pengajaran, Shima dalam masa yang sama berterima kasih kepada semua peminat dan pelanggan setia laksamnya yang sentiasa memberikan sokongan selama ini.

“Walaupun ada yang mencari pasal, Alhamdulillah, perniagaan laksam ini masih beroperasi dan berdiri teguh atas sokongan ramai. Saya sedar dalam perniagaan ini tentu ada naik dan turunnya, tetapi tak mahu mudah patah semangat,”katanya.

Dalam pada itu, Shima juga mengaku tidak sabar untuk kembali ke set bagi menyambung penggambaran yang tergendala bersama produksi drama Lelaki Pendosa yang masih berbaki sebulan.

Mengaku dirinya sudah menerima vaksin lengkap, Shima bagaimanapun terpaksa akur dengan arahan kerajaan yang belum membenarkan operasi sektor perfileman dan penggambaran.

“Kami semua tengah menunggu untuk kembali ke set. Jika dibenarkan semula, memang akan sambung kerja yang tergendala. Hati ini terdetik kasihan juga pada rakan-rakan kru produksi yang terpaksa melupakan sebentar kerja ini.

“Berdoalah agar semuanya dipermudahkan-Nya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya