TOKYO: Pelari pecut Kanada, Andre de Grasse meraih pingat emas dalam acara 200m Sukan Olimpik Tokyo 2020.
De Grasse mencatatkan masa 19.62s untuk mengatasi Kenny Bednarek dari Amerika Syarikat (AS) yang meraih pingat perak dengan catatan 19.68s.
Juara dunia 200m, Noah Lyles meraih pingat gangsa dengan 19.74s.
Sementara itu, Allyson Felix berada dilandasan terbaik untuk meraih pingat Olimpik ke-10 selepas berjaya mara ke saingan final 400m wanita.
Atlet AS berusia 35 tahun itu sedang dalam usaha menjadi atlet paling berjaya di negaranya dengan merekodkan 49.89s untuk berada di tempat kedua dalam saingan separuh akhir.
Stephenie Ann McPherson dari Jamaica berada di tempat pertama dengan catatan peribadi terbaik 49.34s, catatan terpantas dalam saingan separuh akhir.-AFP