TOKYO: Salum Ageze Kashafali tidak menduga perjalanannya selaku pelarian dihiasi bunga selepas muncul pelumba terpantas 100m kategori T12 (masalah penglihatan) dalam sejarah Sukan Paralimpik, kelmarin.
Atlet berusia 28 tahun itu, yang mewakili Norway berkata, hanya emas sahaja dalam fikirannya selepas melalui zaman kanak-kanaknya di Republik Demokratik Kongo yang dilanda perang saudara.
“Terdapat satu tempoh di mana kami hanya bergelut untuk hidup semata-mata. Ada satu malan di mana ketika itu keluarga saya sedang tidur. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi tembak menembak dan bom di kediaman kami.
“Perkara pertama yang saya lihat selepas pintu rumah dibuka, hanya mayat bergelimpangan di atas jalan. Anda hanya menunggu untuk mati,” katanya.
Kashafali dan keluarganya berjaya melarikan diri dari zon merah terbabit dan menghabiskan masa di kem pelarian sebelum diterbangkan jauh ke Bergen, Norway.
“Berpindah ke Norway seperti saya memenangi loteri. Ia seperti satu daripada sejuta peluang. Saya bermula dengan meminta sedekah sehingga kami mempunyai tempat berteduh.
“Sukar untuk digambarkan,” kata Kashafali, yang menghidap penyakit stargardt sehingga mengehadkan fungsi penglihatannya, setelah melakar rekod dunia dengan catatan 10.43 saat.
Tambahnya, dia gembira apabila muncul sebagai pelari terpantas dalam sejarah Sukan Paralimpik.
“Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Saya datang ke sini tanpa tekanan, saya bermula dari mengemis di jalanan. Saya percayakan kemampuan saya.
“Saya datang ke Norway sebagai pelarian demi mengelak daripada mangsa pertumpahan darah, kebuluran dan di sini.
“Segalanya memberikan makna kepada saya,” ujarnya yang pada awalnya buta huruf sebelum memasuki alam persekolahan ketika berusia 13 tahun.- AGENSI