Sebelum Rohas Remi mula menapak dalam industri seni tanah air, dia telah melalui pelbagai cabaran dalam kehidupannya. Pada satu tahap dia pernah menjadi gelandangan demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang penyanyi.
“Waktu berusia 25 tahun saya datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan tanpa kewangan yang kukuh hingga terpaksa menjadi gelandangan.
“Saya ingin mencari duit untuk membuat demo. Dalam kepala terlalu banyak idea, jadi saya buat keputusan untuk tidak berputus asa,” katanya yang berusia 40 tahun itu.
Lama-kelamaan dia berjaya mendapatkan beberapa pekerjaan lantas mengumpul duit untuk merakam demo sebagai permulaan langkahnya dalam industri ini.
Rohas memberitahu, tidak mempunyai kenalan dalam industri seni adalah masalah terbesar untuk mencipta muzik di Malaysia. Katanya, dirinya pula seorang yang introvert jadi tidak mudah untuk bergaul dan mengenali orang sekeliling.
Namun begitu, segala usaha yang dilakukan itu hanyalah demi berkongsi karya-karyanya dengan masyarakat. Pada usia 35 tahun, Rohas Remi telah mengeluarkan album berjudul Esok Masih Ide pada 2016 juga menggunakan wang simpanannya sendiri.
Ia adalah sebuah album eksperimental art rock, hasil kolaborasi bersama produser dan kaki eksperimental, Kamal Sabran.
Daripada karya itu dua single telah diangkat daripada 10 lagu; Tinggi Harap dan Fermina.
“Mungkin album pertama itu terlalu eksperimental, ia kurang mendapat sambutan. Sehinggakan saya pun tidak mampu untuk menghadam lagu-lagu sendiri.
“Namun, saya tetap berusaha untuk menjual album itu dengan pergi ke gig-gig dan jemputan persembahan. Kebetulan terjumpa wakil dari label rakaman Luncai Emas dan sejak itu, kami mula berhubung.
“Pada 2020 saya telah mengeluarkan single terbitan label rakaman itu berjudul Hai Nona Manis. Single itu adalah hasil kolaborasi bersama produser, Yasin yang juga pemain drum kumpulan Pitahati ,” jelas anak kelahiran Kedah itu.
Pada masa akan datang, Rohas Remi merancang mengeluarkan single dan album baharu namun masih dalam perbincangan.
Rohas menekankan, menjadi seorang pemuzik perlu mempunyai semangat yang tinggi dan keghairahan kerana ia sememangnya tidak mudah.
“Walaupun banyak kali rasa ingin berhenti dan putus asa, minat yang mendalam ini tidak mudah dikuburkan.
“Saya harus menjadi lebih kuat daripada besi kerana ingin melihat industri muzik Malaysia berada dalam peta dunia dan dikenali ramai.
“Bakat serta semangat yang ada ini tidak boleh dijual beli. Muzik akan terus menjadi minat saya walaupun usia sudah lanjut, saya boleh mengajar dan membantu bakat baharu,” katanya.