JAKARTA: Isteri aktor Jonathan Frizzy, Dhena Devanka dikhabarkan telah membuat satu laporan polis selepas mendakwa dirinya dikasari aktor berkenaan.
Memetik laporan portal Liputan6, perkara itu disahkan Ketua Unit Siasatan Jenayah, Balai Polis Jakarta Selatan, Achmad Akbar.
Kata Achmad, pihaknya telah menerima laporan Dhena yang dibuat pada Mei lalu. Namun wanita tersebut belum memenuhi panggilan untuk memberi keterangan awal.
“Laporan itu kita terima sejak Mei lalu. Tetapi siasatan belum dibuat memandangkan individu yang membuat laporan bermasalah untuk memberi keterangan.
“Pihak kami telah mengundang pelapor datang ke balai untuk memberi keterangan namun dia masih gagal hadir walaupun sudah dua kali diundang.
“Laporan yang diterima adalah berkaitan isu kekerasan dalam rumah tangga,” katanya.
Keretakan rumah tangga pasangan ini diketahui umum sejak Mei lalu selepas keduanya saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.