Dahulu gereja, kini jadi Masjid USIA, lambang keharmonian Sabah

Dahulu gereja, kini jadi Masjid USIA, lambang keharmonian Sabah

MASJID USIA Bandar Kota Kinabalu yang masih mengekalkan struktur binaan lama sebuah Gereja SDA. - FOTO/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sekilas pandang Masjid Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang terletak berhampiran Padang Merdeka dekat sini kelihatan sama seperti masjid-masjid yang lain.

Namun, sejarah pembinaan masjid pertama di bandar ini cukup unik hingga membuatkan ia mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi dijadikan destinasi pelancongan.

Masjid yang dibina di bangunan yang dahulunya sebuah gereja Seventh Day Adventist (SDA) ini masih teguh biarpun sudah berusia lebih 50 tahun.

Struktur asal bangunan gereja ini tidak diubah bagi mengekalkan identiti dan keasliannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Jawatankuasa Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu, Damit Tajudin berkata, pada tahun lalu, masjid yang tersergam indah di atas bukit ini diwartakan sebagai tapak warisan negeri Sabah bagi memelihara struktur bangunan asal masjid.

Berdasarkan sejarah, bangunan gereja dibina pada 1930-an dan USIA membelinya daripada seorang paderi berbangsa Inggeris pada 1969 kerana ketika itu tiada satupun masjid di bandar ini.

Berikutan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Abdul Hamid Egoh mencadangkan kepada Ketua Menteri, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun untuk membeli bangunan gereja tersebut pada harga RM1.05 juta.

Bermula daripada itu, rekaan dalaman gereja berkenaan diubah suai untuk disesuaikan sebagai masjid dan seterusnya membina kubah. Huruf SDA turut ditutup dengan cat manakala tanda salib digantikan dengan simbol bulan dan bintang.

Semasa gereja itu diambil alih menjadi sebuah masjid, tidak pernah timbul sebarang salah faham daripada mana-mana pihak. Ini melambangkan keharmonian kaum dan agama di Sabah sudah mula diamalkan sejak dahulu lagi.

Pada awalnya, masjid tersebut dikenali sebagai Masjid SDA sempena nama asal gereja yang ditempatkan di situ. Bagaimanapun, Mufti negeri memutuskan nama masjid itu perlu ditukar kerana tidak sesuai menggunakan Masjid SDA.

Maka, pada 2002 masjid itu dijenamakan semula dan dikenali sebagai Masjid USIA bandar Kota Kinabalu, itulah nama sehingga sekarang.

Susulan pewartaan masjid ini sebagai tapak warisan, Ahli Jawatankuasa USIA merancang untuk menjadikan ia sebagai lokasi tarikan pelancongan bandar.

Kami sudah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengubah suai sedikit masjid ini supaya kelihatan lebih cantik dan menarik namun, permohonan itu masih belum diluluskan.

Jadi, kami merancang selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami akan mendapatkan kebenaran untuk mengubah suai masjid tersebut. Insya-Allah selepas itu, kami akan mempromosikan masjid ini sebagai destinasi pelancongan bandar,” katanya.

Jelas beliau, keunikan masjid yang dahulunya sebuah gereja ini mendapat perhatian orang ramai termasuk daripada luar negara.

Malah, ada pihak daripada luar negara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura yang minta saya menceritakan sejarah masjid ini dan mereka begitu tertarik dengan sejarahnya,” katanya.

Masjid ini boleh menampung seramai 2,000 jemaah namun, semasa PKP sebelum ini mereka hanya membenarkan kapasiti 30 peratus jemaah bagi mengamalkan penjarakan fizikal. Ketika ini, masjid itu masih ditutup untuk sebarang aktiviti termasuk solat fardhu dan solat Jumaat.

Selain itu, masjid ini turut menempatkan Pusat Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah untuk anak-anak muda mempelajari ilmu agama dan al-Quran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya