PUTRAJAYA: Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bersetuju menetapkan mata pembangunan profesional berterusan (CPD) minimum sifar (0) bagi pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Tahunan kepada pengamal perubatan baharu didaftarkan penuh dengan MPM.
Presidennya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum ini, salah satu kriteria permohonan bagi Sijil Perakuan Amalan Tahunan memerlukan CPD minimum 20 selaras dengan Peraturan 28(2)(b) Peraturan-Peraturan Perubatan 2017.
“Bagaimanapun, pada Mesyuarat MPM kali ke-408 yang bersidang 27 Julai lalu, persetujuan dicapai dengan menetapkan kosong sebagai keperluan minimum mata CPD bagi pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Tahunan.
“Pengamal perubatan baharu didaftarkan penuh dalam konteks ini merujuk kepada Pegawai Perubatan Siswazah yang memiliki Sijil Pendaftaran Sementara dengan MPM dan telah menamatkan latihan siswazah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pemberian kosong mata CPD minimum itu akan diberikan bagi dua tahun pertama permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan mereka setelah didaftarkan penuh.
“Keputusan ini dibuat memandangkan pengumpulan mata CPD adalah bukan suatu perkara yang diwajibkan dalam tempoh latihan siswazah,” katanya.
Dalam masa sama, Noor Hisham berkata, majlis juga prihatin dengan rintihan golongan pengamal itu di mana mereka belum terdedah dengan kriteria bagi permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan setelah didaftarkan penuh dan juga tempoh kitaran mata CPD.
“Terdapat juga di antara mereka yang didaftarkan penuh setelah tamat tempoh kitaran tahun CPD dan tidak dapat memenuhi kriteria tersebut.
“Namun dengan keputusan ini, pengamal perubatan baharu didaftarkan penuh ini diseru agar sentiasa memastikan penjagaan pesakit berada di tahap terbaik dengan menghadiri aktiviti CPD berterusan bagi memastikan pengetahuan, kemahiran dan etika profesional sentiasa berada di tahap tertinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE