Covid-19: Tiga ADUN dilarang hadiri Sidang DUN Perak - Utusan Malaysia

Covid-19: Tiga ADUN dilarang hadiri Sidang DUN Perak

MOHAMMAD Zahir Abdul Khalid (tengah) memberi penerangan kepada wartawan mengenai persiapan untuk persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dibenarkan untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama empat hari mulai Rabu ini atas sebab-sebab berkaitan Covid-19.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, seorang daripada ADUN berkenaan disahkan positif Covid-19, seorang lagi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 manakala seorang ADUN belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya, keputusan tidak membenarkan ketiga-tiga ADUN berkenaan menghadiri sidang DUN dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Bagi ADUN yang positif Covid-19, beliau sedang menunggu maklumat dan arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan.

“Bagi ADUN yang merupakan kontrak rapat kepada pesakit Covid-19, beliau menjalani kuarantin di rumah manakala ADUN yang belum menerima vaksin sudah dimakluman beliau tidak dibenarkan menghadiri persidangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohammad Zahir berkata, berikutan Covid-19, persidangan kali ini dilaksanakan dengan konsep gelembung iaitu yang pertama kali dibuat di negara ini.

Menurutnya, selaras dengan konsep berkenaan, segala prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang berkaitan persidangan akan diperketatkan.

“SOP dan garis panduan konsep gelembung mempunyai empat elemen utama kepada semua ADUN iaitu penyediaan kemudahan penginapan, kemudahan pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan ujian pengesanan harian.

“Elemen ini akan menentukan keberkesanan secara optimum pelaksanaan konsep gelembung persidangan kali ini,” katanya.

Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin berkenan untuk berangkat ke istiadat pembukaan rasmi sidang DUN.

Mohammad Zahir berkata, sejajar dengan pelaksanaan konsep gelembung, akses ‘live streaming’ akan menjadi medium utama bagi tujuan penyiaran di sepanjang persidangan.

Menurutnya, pihak yang berkepentingan seperti ketua dan wakil jabatan, agensi yang terlibat, media mahu pun orang awam boleh mengikuti ‘live streaming’ tersebut melalui saluran YouTube.

“Pautan ‘live streaming’ tersebut akan dipaparkan melalui portal dan Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sepanjang hari persidangan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya