KOTA BHARU: Kelantan kini mencatatkan sehingga lapan kematian sehari, ekoran varian Delta yang mula dikesan di negeri ini, kira-kira sebulan lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding dua atau tiga kes kematian sehari sebelum ini.
“Selepas Aidiladha kita dapat lihat berlaku peningkatan kes kerana ada aktiviti kunjung mengunjung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji di sini hari ini.
Dr. Zaini berkata, selagi tiada kemasukan varian baharu, kes Covid-19 di negeri ini akan reda jika lebih ramai individu melengkapkan dos vaksin bagi membantu mencapai 80 peratus secepat mungkin.
“Buat masa ini selain varian Delta dan Beta, ada varian baharu yang wujud di luar negara dan kita perlu ambil perhatian mengenai jangkitan varian baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Dr. Zaini berkata, kapasiti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam termasuk bagi program outreach dan juga klinik swasta setakat ini mencecah sehingga 33,000 individu sehari.
“Dalam tempoh sebulan kita mampu menyuntik sekitar satu juta penerima vaksin.
“Kita jangkakan akan menerima 800,000 bekalan vaksin dalam bulan ini dan Kelantan mampu mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada Oktober ini,” katanya.