SHAH ALAM: Operasi kilang berterusan didakwa menjadi punca kepada peningkatan kes Covid-19 di Selangor apabila Kerajaan Persekutuan membenarkan kilang beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini.
Peningkatan itu dikatakan berlaku ketika kilang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari dan Jun lalu sehingga negeri ini mencatatkan ribuan kes setiap hari sehingga sekarang.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd. Sany Hamizan yang menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan untuk memastikan kilang-kilang di Selangor ditutup sehingga kes harian turun.
“Tadi saya dengar Sungai Burong (Datuk Mohd. Shamsudin Lias) meminta kerajaan negeri supaya memecut, tetapi saya lihat exco kerajaan negeri sudah buat sehabis baik untuk menurunkan kes Covid-19.
“Saya akui kes Covid-19 di Selangor tinggi kerana pembukaan kilang. Jadi, saya nak tanya Sungai Burong, boleh tak kita tutup sementara kilang-kilang ini. Tetapi ia di bawah Kerajaan Persekutuan terutama MITI dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau membangkitkan hal itu ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.
Pada PKP lalu, MITI telah memberikan kebenaran kepada beberapa sektor untuk beroperasi dalam tempoh tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Namun, perkara tersebut tidak disenangi beberapa majoriti rakyat Malaysia yang merasakan beberapa sektor tidak sepatutnya beroperasi ketika tempoh tersebut memandangkan ianya bukan dalam kategori sektor perkhidmatan perlu (essential service).
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengulas mengenai jangkitan Covid-19 dalam sektor industri yang turut dibangkitkan ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi apabila menyatakan 62 peratus pekerja kilang dilaporkan positif dalam saringan di tempat kerja bermula Julai lalu.
Beliau berkata, peratusan itu dibuat ke atas 53,571 pekerja dan daripada jumlah itu juga 14.5 peratus dalam sektor perkhidmatan, pembinaan (13.5 peratus) dan perdagangan (10 peratus) dikenal pasti positif Covid-19.
“Kes positif ini dikenal pasti menerusi saringan yang dijalankan oleh majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja. Selain itu, saringan kontak rapat kepada rakan kerja yang positif dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti-fasiliti kesihatan swasta,” katanya.
Amirudin menambah, pemeriksaan terhadap pematuhan SOP turut mendapati sebanyak 237 daripada 2,457 premis telah diarah tutup yang merangkumi 129 arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta MITI (108). – UTUSAN