Covid-19: Empat ADUN termasuk seorang positif tidak dibenarkan ikuti persidangan - Utusan Malaysia

Covid-19: Empat ADUN termasuk seorang positif tidak dibenarkan ikuti persidangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor tidak dibenarkan mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 hari ini ekoran keadaan kesihatan mereka termasuk seorang disahkan positif Covid-19.

ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu ketika menjalani ujian saringan.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat berkata, tiga lagi wakil rakyat yang terlibat ialah ADUN Johor Lama, Rosleili Jahari; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan ADUN Senai, Tee Boon Tsong.

“Rosleili ketika ujian RTK-Antigen pagi tadi positif, jadi beliau diuji kembali di Hospital Sultanah Aminah (HSA), tetapi keputusannya adalah negatif. Boon Tsong pula batuk ketika datang jadi kita tidak mahu ambil risiko dan mintanya balik.

“Kedua-dua mereka dibenarkan menyertai hari terakhir sidang pada Rabu ini jika keadaan mengizinkan manakala Chin Li pula perlu menjalani kuarantin lebih lama dan tidak dapat menyertai sesi persidangan kali ini kerana menjadi kontak rapat,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kesemua 56 ADUN perlu menjalani ujian calitan RTK-Antigen setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN bermula 22 hingga 25 Ogos sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangani pandemik Covid-19.

Malah, petugas media dan petugas Dewan Negeri juga perlu melakukan ujian yang sama setelah penilaian risiko Covid-19 yang dilakukan menyebabkan persidangan yang sepatutnya berakhir hari ini ditangguh dengan menambah baik beberapa aspek sebagai langkah pencegahan.

Sementara itu, Suhaizan berkata, hanya dua ahli dewan yang tidak hadir pada persidangan hari ini namun sudah memaklumkan ketidakhadiran mereka lebih awal sebelum sesi disambung kembali.

“Dua ahli dewan berkenaan ialah ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya