YAN: Kerajaan Negeri Kedah akan menilai semula kedudukan chalet-chalet yang terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, di sini pada 18 Ogos lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut diambil memandangkan kebanyakan chalet terlibat dibina di atas tanah rizab sungai dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, pembinaan semula chalet selepas ini perlu didirikan di kawasan yang mempunyai geran dan mendapat kebenaran beroperasi.
Menurut beliau, kelulusan Majlis Daerah Yan dalam pengoperasian chalet penting kerana ia bukan sahaja melibatkan isu keselamatan pengusaha, tetapi juga pengunjung.
“Kejadian baru-baru ini berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita tidak dapat bayangkan jika ia berlaku luar waktu PKP dengan kawasan itu mungkin dipenuhi pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Bencana Yan Perikatan Nasional (PN) di Kampung Acheh, di sini hari ini.
Selain itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada 14 pengusaha chalet terjejas di bawah program pemulihan industri pelancongan desa.
“Bantuan itu bukanlah berbentuk ganti rugi tetapi sagu hati di bawah program tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE