PETALING JAYA: Campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam krisis politik negara mampu menyelesaikan konflik ketika ini yang sebenarnya tidak membantu kerajaan dalam menangani Covid-19, malah memburukkan lagi keadaan.
Pengerusi Yayasan Minda, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, krisis politik memberi kesan kepada negara walaupun pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk diteruskan.
“Walaupun dibenarkan penentuan keabsahan kerajaan dilakukan melalui usul undi percaya kepada Perdana Menteri September ini, masih ada desakan agar Parlimen segera dibuka yang dirasakan tidak membantu di saat rakyat sedang sengsara akibat Covid-19.
“Saya mohon jasa baik ahli Parlimen terus sokong kerajaan berteras kepemimpinan Melayu dan Islam agar penyatuan ummah direalisasikan. Saya yakin ada tangan-tangan ghaib menunggu masa mencampuri politik sehingga orang Melayu dan Islam hilang kuasa jika leka dan tersilap langkah.
“Saya berpendapat Seri Paduka perlu membuat keputusan sebaiknya bagi menyelesaikan konflik politik yang mengganggu tugas kerajaan menghadapi wabak Covid-19. Ahli Parlimen perlu profesional menyokong penuh kerajaan menghadapi cabaran getir wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, beberapa ahli Parlimen menarik sokongan terhadap keabsahan pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta menggugat pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, beberapa ahli politik lain menggesa peletakan jawatan beliau disegerakan atas alasan pembentangan usul tersebut dilihat terlalu lambat dalam negara sedang berdepan Covid-19.
Menurut Ibrahim, dalam menangani pandemik Covid-19, kerajaan berusaha membekal vaksin dan menyediakan pusat perubatan serta saringan Covid-19 berbanding negara lain.
“Kepada rakan politik yang ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapam (PH) dan DAP dalam pilihan raya akan datang, berwaspadalah dengan agenda DAP. Orang Melayu sensitif terhadap DAP dengan agenda membentuk negara sama rata yang merugikan dan melemahkan orang Melayu dan Islam.
“Saya percaya Seri Paduka adalah payung perpaduan dan penyatuan orang Melayu, Cina, India dan kaum di Sabah serta Sarawak. Perpaduan nasional penting memastikan agenda kerajaan disokong tanpa campur tangan mana-mana pihak agar kes Covid-19 berkurangan untuk kerajaan melaksana PRU-15 segera.
“Sokongan terhadap kerajaan perlu untuk memulih semula ekonomi kritikal, merentasi semua kaum. Melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), diharap sebuah kerajaan kukuh dan kuat dipilih agar kecelaruan dan pergolakan politik tidak berulang selain perpaduan nasional direalisasi. Dengan majoriti kukuh, insentif ekonomi dilaksana lebih terurus mengurangkan beban rakyat pasca Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE