PETALING JAYA: Cadangan kerajaan untuk melihat dengan lebih dekat keperluan visa pelancongan dan umrah disekalikan tidak praktikal.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kerajaan sebaliknya perlu memastikan rakyat Malaysia menggunakan agensi pelancongan berdaftar sama ada untuk mengerjakan umrah dan melancong.
Katanya, ini sekali gus dapat membuka lebih peluang perniagaan kepada agensi pelancongan di sini.
“Keistimewaan ini diberikan disebabkan keakraban hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi. Dengan keistimewaan ini, bukan sahaja orang Islam dapat ke Arab Saudi, tetapi rakyat bukan Islam di Malaysia juga dapat mengunjungi lokasi-lokasi menarik yang ada disana kecuali di Tanah Haram.
“Ini sekali gus dapat membuka lebih peluang perniagaan kepada agensi pelancongan kita di sini. Visa pelancongan membolehkan kita berada di sana selama 90 hari setahun yang mana berbeza dengan visa umrah yang hanya membenarkan kita berada di sana tidak melebihi 30 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung tindakan kerajaan yang mahu memuktamadkan prosedur menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia dengan Kedutaan Arab Saudi.
Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lepas, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.- UTUSAN ONLINE